fbpx

4 kolej komuniti di Johor bakal ada kampus tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bersama Noraini Ahmad dan Hasni Mohamad hadir sempena Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

PONTIAN – Kerajaan dalam perancangan mewujudkan empat buah lagi kolej komuniti di negeri ini bakal mempunyai kampus tetap melibatkan peruntukan RM61.2 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, peruntukan itu sepertimana yang telah diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut Ismail Sabri, kolej komuniti tersebut ialah Kolej Komuniti Bandar Tenggara di Kota Tinggi, Kolej Komuniti Pagoh di Muar, Kolej Komuniti Parit Sulong di Batu Pahat dan Kolej Komuniti Simpang Renggam di Kluang.

“Insya-Allah, seperti yang diluluskan kerajaan dalam RMK-12, empat buah lagi kolej komuniti di Johor bakal mempunyai kampus tetap.

“Semua projek ini melibatkan kos atau siling peruntukan kira-kira RM61.2 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolej Komuniti Satelit @ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ismail Sabri berkata, dalam RMK-12 juga, kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai satu daripada pemacu perubahan khususnya memenuhi permintaan pekerja oleh pihak industri.

Justeru katanya, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM6.6 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

“Pada tahun 2022, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada JPPKK untuk melaksanakan program latihan TVET dan kita sasarkan seramai 25,000 pelatih mendapat manfaat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, TVET mampu melahirkan pekerja mahir yang terlatih serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

Buktinya, kadar kebolehpasaran graduan TVET pada tahun lalu adalah 87 peratus melebihi kadar kebolehpasaran graduan di peringkat nasional iaitu 84.4 peratus.

Ujar Perdana Menteri, secara khususnya, kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti pada tahun yang sama ialah 94.2 peratus dan nilai ini adalah paling tinggi antara institut kemahiran awam yang lain.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI