PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah diberi kebenaran untuk beraksi pada Grand Prix (GP) San Marino pada hujung minggu ini selepas melepasi ujian pemeriksaan kesihatan dan kecergasan kelmarin.
Pelumba berusia 26 tahun itu bagaimanapun mengakui perlu melihat keadaan pada hari pertama sesi ujian bebas bagi melihat keupayaanya terlebih dahulu sebelum meletakkan sebarang sasaran.
Jelas Hafizh, dia yakin mampu berlumba, namun mengakui keadaan otot terutama pada kaki kirinya masih belum sempurna dan sedikit terganggu.
“Saya kini melakukan persiapan untuk turun beraksi selepas terlepas perlumbaan susulan terlibat dalam insiden mengerikan di Austria bulan lalu.
“Saya suka dengan litar di Misano tetapi saya tidak tahu keadaan saya ketika menunggang jentera nanti. Ketika ini keadaan otot saya masih belum baik dan masih rasa sakit sedikit dan terganggu. Apa pun perlu tunggu sesi latihan nanti dan saya harap mampu lakukan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang menjalani pembedahan di sebuah hospital di Barcelona, Sepanyol bagi memotong jari kelingkingnya turut mendapat kebenaran untuk beraksi.
Pelumba Petornas Sprinta Racing itu nekad berbuat demikian apabila kecederaan pada jari itu berulang ketika beraksi dalam saingan GP Republik Czech awal bulan lalu.
Kali pertama jari kelingkingnya mengalami keretakan serius ketika sesi latihan bebas bagi GP Sepanyol pada tahun 2019 sekali gus memaksanya melupakan baki saingan musim lalu.