PETALING JAYA – Penduduk di negeri Selangor dan Perak dinasihatkan berwaspada ekoran dua sungai direkodkan masih melepasi paras amaran.
Menurut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 11 pagi ini, dua sungai di kedua-dua negeri itu bagaimanapun mula menunjukkan trend menurun.
Bacaan paras air di sesen Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat adalah 4.17 meter (m) melepasi paras amaran berbanding bacaan normal 1.90 m.
Manakala di stesen Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak mencatatkan bacaan 3.33 m melepasi paras amaran berbanding bacaan normal 2.0 m.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan keadaan cuaca hampir di seluruh negeri dijangka cerah sehingga tengah hari ini dan diramalkan mengalami hujan di sebelah petang. – KOSMO! ONLINE