KULAI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah mengaktifkan sistem laluan automatik (autogate) terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, langkah itu sebagai persediaan untuk beroperasi semula secara sepenuhnya di pintu masuk negara susulan langkah pembukaan sempadan tidak lama lagi.
“Pegawai-pegawai bertugas di pintu masuk yang sebelum ini dihantar ke depoh sementara yang dibuka sepanjang pandemik ini juga akan dipanggil semula untuk kembali ke tugas asal mereka.
“Daripada segi persediaan saya boleh katakan Imigresen telah pun bersedia terutama di dua pintu masuk utama iaitu KLIA dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor ini,” katanya selepas mengetuai Ops Mega Imigresen di sini, malam semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu katanya, membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.
Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet kelmarin sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri.
Pintu sempadan negara ditutup sepenuhnya pada 18 Mac 2020 ekoran penularan kes Covid-19 di seluruh dunia ketika itu yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap penduduk negeri ini berulang alik ke Singapura.
Malah, aktiviti ekonomi juga turut terjejas ekoran penutupan pintu sempadan yang kini hanya dibuka mengikut kategori tertentu seperti inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).-KOSMO! ONLINE