Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
SEGAMAT – Keseronokan lima remaja mandi-manda di Sungai Segamat, Felcra Sekijang bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas dalam kejadian petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul kira-kira 4petang itu, mangsa yang lemas ialah Tey Shan Hui, 15, dan Tan Kah Chun, 13.
Manakala tiga lagi rakannya yang berusia 13 hingga 15 tahun terselamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Syed Putra Syed Mohd. Al-Atas berkata, kesemua mangsa dikatakan mandi-manda di sungai itu sebelum salah seorang berenang ke kawasan dalam.
“Mangsa dipercayai lemas sebelum seorang lagi rakannya cuba menyelamatkannya tergelincir dan turut lemas.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) melakukan teknik ‘surface and searching’ dengan radius 10 meter. Kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira tiga meter dari tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syed Putra berkata, mangsa disahkan meningga dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Segamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, mayat kedua-dua remaja itu dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.
“Seramai 16 anggota terlibat terdiri daripada BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Segamat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
“Operasi ditamatkan pada pukul 6.30 petang,” katanya. – K! ONLINE