PETALING JAYA – ‘Ana Nayla menangis sehingga mata bengkak dan tidak mahu minum susu, ibu pula nampak kelibat hitam merangkak’.
Itu pengalaman selebriti popular Ayda Jebat ‘bermalam’ di sebuah hotel di ibu negara atas urusan kerja kelmarin.
Situasi mendebarkan itu menyebabkan dia dan suami, Nabil Mahir serta kedua-dua ibu bapanya terpaksa mendaftar keluar hotel pukul 2.40 pagi kelmarin.
“Semalam (kelmarin), saya dan Nabil mendaftar masuk di sebuah hotel di Kuala Lumpur atas tujuan kerja. Saya ambil dua bilik besar yang menghubungkan antara dua bilik.
“Satu bilik untuk saya dan satu untuk mama dan baba. Masuk sahaja bilik hotel Ana Nayla terus menangis dan jika awak dengar sendiri pun boleh tahu dia dalam ketakutan.
“Macam-macam dilakukan termasuk melaungkan Azan tetapi dia masih menangis tanpa henti sampai tersedu-sedu. Saya dan Nabil pun rasa ingin menangis,” luah Ayda di Insta Storynya.
Menurut pelantun lagu Pencuri Hati itu, keadaan anaknya yang tidak mahu minum susu dan hanya menangis membuatkan dirinya tidak tenang saat menjalani latihan tarian di satu lokasi berdekatan
hotel berkenaan.
“Setelah selesai sesi latihan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, ibu memaklumkan dia terlihat kelibat satu lembaga merangkak daripada bilik saya ke biliknya.
“Ketika itu, anak saya sudah tidur sebab kepenatan menangis. Mama tarik saya dan Nabil pergi ke tepi dan beritahu kami bilik hotel ini tidak ‘elok’.
“Mama terlihat sesuatu merangkak laju dari bilik saya menerusi pintu sambungan itu dan terus pergi ke bilir air,” katanya.
Enggan mengambil risiko soal keselamatan puteri kesayangan mereka, Ayda membuat keputusan untuk pulang ke rumah kira-kira pukul 2.40 pagi.
“Di kaunter hotel, seorang kakitangan beritahu tingkat yang menempatkan bilik kami baru sahaja dibuka setelah sekian lama ditutup,” ujarnya.
Ayda berkata, dia tidak sempat mengambil sebarang gambar atau video dan tujuannya berkongsi mengenai perkara itu sebagai panduan pada ibu bapa lain.