MANCHESTER – Manchester City menerima menerima perkhabaran kurang baik menjelang aksi derbi menentang Manchester United di Etihad tengah malam ini apabila tonggak pertahanan utama mereka berdepan masalah kecederaan.
Pengendali pasukan itu, Pep Guardiola mengesahkan bahawa City bakal turun tanpa khidmat Ruben Dias ketika mereka terdesak untuk mengelak kekalahan ekoran berdepan tekanan tinggi daripada pencabar utama, Liverpool.
The Citizens ketika ini hanya memiliki kelebihan enam mata berbanding Liverpool yang masih kekurangan satu perlawanan menyebabkan mereka tidak boleh keciciran sebarang mata pada aksi berkenaan.
Ketika ini, Dias merupakan tonggak penting City apabila sudah beraksi 25 daripada 27 perlawanan Liga Perdana Inggeris untuk pasukan berkenaan, namun kecederaan hamstring menyebabkan dia mungkin perlu berehat untuk tempoh empat hingga enam minggu.
Selain Dias, Guardiola tidak dapat menurunkan Nathan Ake yang juga mengalami kecederaan ketika mereka meraih kejayaan menewaskan Peterborough United 2-0 pada aksi pusingan kelima Piala FA.
“Nathan dan Ruben tidak dapat diturunkan. Saya sangat menggemari mereka, tetapi tidak akan menangis kerana kehilangan khidmat kedua-duanya. Kami mempunyai 14 atau 15 lagi pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut,” katanya.
Berdasarkan perlawanan lalu, City tidak mempunyai rekod yang baik berdepan United di tempat sendiri apabila mereka hanya memenangi satu daripada tujuh pertemuan lalu, namun mereka berjaya meraih kemenangan di Old Trafford musim ini pada November tahun lalu.
“Ini adalah perlawanan derbi untuk peminat, kami akan cuba memenangi perlawanan ini kerana ia penting untuk kami memenangi kejuaraan nanti.
“Tidak ada apa yang berubah, lawan kami adalah sebuah pasukan yang baik. Kami perlu meraih sebanyak mungkin kemenangan ketika ini, ia bukan untuk kepuasan semata-mata tetapi kami mempunyai impian lebih besar,” jelasnya. – AGENSI