BANDAR RAYA NEW YORK – Aplikasi penghantaran barangan dapur, Buyk, memberhentikan sebahagian besar kakitangannya di Amerika Syarikat (AS) secara tiba-tiba ekoran sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, lapor akhbar New York Post semalam.
Buyk yang diasaskan oleh dua warganegara Rusia iaitu Slava Bocharov dan Rodion Shishkov, mempunyai operasi yang besar di Bandar Raya New York dan Chicago.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, James Walker berkata, Buyk memberhentikan 98 peratus kakitangannya sehingga ia berjaya mendapatkan dana daripada sumber-sumber di AS.
“Kami telah membuat keputusan sukar untuk memberhentikan pekerja secara sementara sehingga syarikat mendapat lebih banyak sumber dana di AS.
“Kedua-dua pengasas kami juga telah menyediakan pembiayaan sementara kepada Buyk.
“Bagaimanapun, sekatan ke atas bank-bank Rusia telah menjadikan proses pembiayaan sementara ini tidak dapat dilaksanakan, meskipun tiada sekatan dikenakan terhadap kedua-dua pengasas kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Walker, setakat ini, aset milik syarikat itu masih melebihi liabilitinya dalam jumlah yang besar.
“Justeru, kami kekal yakin bahawa model runcit ultra pantas Buyk mampu menjadikan peruncitan masa sebenar sebagai satu realiti di AS,” ujar Walker. – Agensi