fbpx

Malaysia sokong resolusi MHAM berhubung isu Ukraine Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia bersama-sama 31 negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyokong resolusi berkaitan isu krisis Ukraine-Rusia.

Wisma Putra berkata, usul berkenaan yang diluluskan pada sesi ke-49 di ibu pejabat MHAM di Geneva, Switzerland semalam membolehkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Siasatan Antarabangsa untuk menyiasat isu pencabulan hak asasi warga Ukraine oleh tentera Rusia.

“Resolusi bertajuk ‘Situasi hak asasi manusia di Ukraine berpunca daripada keganasan Rusia’ itu telah diperbahaskan bermula pada 3 Mac lalu sebelum pengundian berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 32 negara mengundi bersetuju termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Emiriah Arab Bersatu, Jerman, Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Nepal, Perancis, Somalia dan Qatar.

Namun dua lagi membantah iaitu Rusia sendiri dan Eritrea, manakala 13 negara berkecuali antaranya Armenia, China, Cuba, India, Kazakhstan, Namibia, Pakistan, Sudan dan Uzbekistan.

Ini kali kedua PBB meluluskan resolusi mengutuk Rusia selepas Perhimpunan Agung badan dunia itu di New York, AS pada Rabu lalu menyaksikan 141 negara menyokong usul serupa.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Malaysia menyokong atas komitmen terhadap prinsip Piagam PBB terutama menghormati kedaulatan dan integriti negara yang bebas merdeka.

“Malaysia juga menyatakan kebimbangan bahana konflik dua negara berjiran di Eropah itu akan bertambah buruk dan mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah bergolak juterus dengan penerimaan resolusi itu Malaysia menyeru pihak bertelagah segera mengambil langkah meredakan ketegangan dan mengelakkan kemusnahan teruk,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI