fbpx

Sudah boleh ‘terbang’ ke Thailand, Kemboja guna VTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Selepas Singapura, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu kini akan beroperasi ke Thailand dan Kemboja bermula 15 Mac ini susulan perbincangan yang membuahkan hasil bersama kedua-dua negara sebagai usaha ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, menerusi VTL tersebut pengembara yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

“Untuk VTL ke Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket.

“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi VTL ke Kemboja pula, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

“Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, laluan VTL itu akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL.

“Prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat dan pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL ini.

“Kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI