KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran membabitkan 48 buah motosikal dan empat buah kereta di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 39 tahun itu diberkas di PPR Intan Baiduri masing-masing pada pukul 2.30 dan 6.30 petang, hari yang sama.
“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek yang berusia 31 tahun positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi negatif.
“Proses reman sedang buat bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi membolehkan kes disiasat sekiranya wujud elemen khianat dengan api dalam kejadian tersebut.
Terdahulu, 48 buah motosikal dan empat buah kereta yang diparkir di Blok C, PPR Intan Baiduri, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Susulan kejadian itu, polis mengenal pasti sekiranya terdapat elemen khianat dalam kejadian kebakaran yang menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM300,000. – KOSMO! ONLINE