KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 678 mangsa daripada 232 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Terengganu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, empat PPS yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Menerong, Balai Raya Kampung Kemat, Dewan In Situ Felcra Betong dan Felcra Gunung Menerong.
“Seramai 338 mangsa dari 101 keluarga termasuk tiga bayi masih berada di Dewan In Situ Felcra Betong.
“Balai Raya Kampung Kemat pula masih mempunyai 201 mangsa daripada 72 keluarga,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, seramai 83 mangsa daripada 45 keluarga masih berada di SK Menerong.
Tambah beliau, Felcra Gunung Menerong pula masih mempunyai 56 mangsa daripada 14 keluarga termasuk dua bayi.
“Hujan renyai masih turun di kebanyakan daerah di negeri ini termasuk Hulu Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE