KUALA LUMPUR – Derbi Lembah Klang berakhir dengan keputusan seimbang apabila Kuala Lumpur City dan Selangor terikat 3-3 pada aksi sulung Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Selepas mempamerkan aksi dramatik, lebih 2,000 penonton di stadium pastinya puas menyaksikan adegan berbalas jaringan dan keputusan seri itu pastinya adil buat kedua-dua pasukan.
Aksi babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Minit ke-18, Hyuri Henrique membuka jaringan buat Selangor namun ia sekadar bertahan dua minit selepas Zhafri Yahya meledak gol penyamaan buat KL City.
Berselang tujuh minit kemudian, seorang lagi pemian import Red Giants, Herlison Caion kembali meletakkan pasukannya di depan tetapi KL City sekali lagi pamer kebangkitan dan minit ke-32 giliran Hadin Azman cipta nama selaku penjaring gol kedua buat tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Selangor tampil agresif manakala KL City dilihat lebih menjurus kepada serangan balas.
Sebaliknya, minit ke-60, kegagalan pertahanan Selangor mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan baik mengundang padah apabila Ryan Lambert menggegar gawang lawan buat kali ketiga.
Selepas Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah, minit ke-78, KL City terus dihimpit malang berganda apabila Caion sekali lagi pamer ketenangan untuk menyempurnakan penalti kedua sekali gus kembali mengikat kedudukan.
Di Stadium Likas, pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan bermula langkah kanan apabila menewaskan Sabah 1-0.
Khair Jones muncul wira pelawat, meledak gol kemenangan pada minit ke-52.
Di Stadium Negeri, Kuching, gol tunggal Wanja Ronald Ngah pada minit ke-17 menghadiahkan tiga mata buat Kedah Darul Aman (KDA) dengan menewaskan Sarawak United 1-0. – KOSMO! ONLINE