KUALA SELANGOR – Polis siasat kes seorang pemandu kereta yang membuat tohmahan ke atas anggota trafik selepas disaman di sekitar daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, perkara itu dikesan pihaknya selepas tular di media sosial pada pukul 8.40 malam.
Katanya, ia memaparkan mesej rasa tidak berpuas hati individu itu dengan seorang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Selangor.
“Anggota trafik itu mengeluarkan saman ke atas pemandu berkenaan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Kereta itu ditahan selepas ‘snap check’ (pemeriksaan) dijalankan di Jalan Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya pukul 9.45 pagi, kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramli, pemeriksaan mendapati pemandu itu turut tidak membawa kad pengenalan dan lesen memandu.
“Tindakan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar adalah mengikut Kaedah-Kaedah Kereta Motor 1978 (Pindaan 2008),” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.
“Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM). -KOSMO!ONLINE