ALOR SETAR – Pasukan bomba sedang giat mengesan tiga lelaki yang terkandas di Gunung Keriang di sini hari ini.
Ketua Zon Kota Setar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 4.59 petang tadi.
Katanya, ketiga-tiga mangsa yang mendaki gunung bersama sekumpulan rakan pada pukul 6 pagi tadi gagal turun pada petang tadi.
“Kita telah menggerakkan lapan anggota dengan bantuan polis dan malim gunung untuk mengesan mangsa.
“Malim gunung yang turut membantu dalam pencarian awal sebelum ketibaan bomba gagal mengesan ketiga-tiga mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa masih boleh dihubungi menerusi panggilan telefon. – KOSMO! ONLINE