fbpx

Bingung diberhenti mengejut, tak terima gaji sesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Idham (kanan) dan Eizlan Yusof (kiri) keliru dan bingung apabila dilucutkan jawatan dalam Kementerian Luar secara mengejut.

PETALING JAYA – Dua anak seni berpengaruh, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof keliru dan bingung apabila dilucutkan jawatan dalam Kementerian Luar secara mengejut.

Ahmad Idham dan Eizlan yang masing-masing sebelum ini diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif kementerian berkenaan memaklumkan tidak diberikan penjelasan mengapa perkhidmatan ditamatkan dengan serta merta.

Bagaimanapun, mereka menerima surat penamatan kontrak pada Isnin lalu, walaupun kontrak sudah berakhir pada 23 Februari lalu dan kini berada dalam situasi terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

“Sebenarnya, ramai yang bertanya tentang isu penamatan jawatan tersebut termasuk rakan media. Bagaimana kami mahu jelaskan sedangkan sama ada saya mahupun Eizlan juga tidak dinyatakan punca penamatan daripada beliau (Saifuddin)?.

“Awalnya memang kami bercadang tak nak buat sebarang kenyataan dan hanya mahu berdiam diri demi menghormati keputusan. Pun begitu, apabila ramai mendesak untuk buat penjelasan, wajar kami bertindak bagi mengelak sebarang spekulasi lain timbul.

“Apa yang boleh kami nyatakan di sini, dalam surat, memang tidak dinyatakan sebab khidmat kami ditamatkan. Kami juga tidak pernah dipanggil atau menerima surat amaran jika melakukan kesalahan sepanjang bertugas,” ujar Ahmad Idham, 48.

Kedua-dua anak seni berkenaan ditemui pihak media secara virtual bagi memberi penjelasan isu penampatan jawatan masing-masing oleh menteri terlibat, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Semalam, Saifuddin mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan.

Difahamkan, apa yang diputuskan secara mengejut berlaku dalam tempoh 24 jam, namun, Saifuddin tidak menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan.

Baik Ahmad Idham mahupun Eizlan, mereka menghormati keputusan yang dibuat dan tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak dengan melakukan memberi penjelasan kepada pihak media namun imej mereka perlu dibersihkan.

“Tiada niat nak panggil media buat penjelasan itu ini. Hal ini kerana, kami dah pun terima surat penamatan konrak lima hari lalu.

“Keputusan menteri kami hormat dan selama ini pun, kami mempunyai hubungan yang baik dengan Saifuddin dan banyak kejayaan dicipta bersamanya.

“Kami pun tertanya-tanya apa salah kami apabila terima surat penamatan kontrak dengan cara begitu tanpa ada tunjuk sebab dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Idham dan Eizlan menginginkan penjelasan sama ada daripada Saifuddin mahupun Kementerian Luar berkenaan kekeliruan yang berlaku.

“Mengeluarkan kenyataan tanpa menyatakan sebab, maka timbul spekulasi. Itu sangat berbahaya.

“Bukan sahaja reputasi kami akan terjejas bahkan reputasi beliau sebagai menteri. Beliau harus mempunyai alasan kukuh mengapa memberhentikan kami secara mengejut dengan cara begini.

“Kami mewakili industri kreatif negara. Kalau kami ada buat salah, sila jelaskan apa kesalahan yang telah dilakukan agar dapat kami perbaiki diri.

“Saya dan Eizlan tak kisah membuat permohonan maaf atau bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jika benar-benar bersalah,” kata Ahmad Idham lagi.

Sementara itu, Eizlan memaklumkan tidak pernah menerima sebarang gaji atau menggunakan wang kerajaan selama tempoh empat bulan berkhidmat dalam kementerian terbabit.

“Saya tak dibayar dan hanya bekerja sebagai sukarelawan. Malah, saya terpaksa menggunakan wang sendiri untuk berkhidmat.

“Elaun pun tiada. Satu sen tak dibayar tapi saya tetap buat kerja atas rasa tanggungjawab sebab nak lihat industri kita maju,” kata Eizlan.

Terdahulu, media melaporkan, Wisma Putra menggugurkan nama Ahmad Idham dan Eizlan daripada portfolio masing-masing selepas didakwa melobi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI