KIEV, Ukraine – Tentera Rusia menawan loji nuklear terbesar Eropah hari ini selepas pertempuran dengan askar Ukraine menyebabkan fasiliti itu terbakar sekali gus mencetuskan kebimbangan kebocoran radioaktif.
Pihak berkuasa kawal selia nuklear Ukraine berkata, kebakaran telah dipadamkan dan tiada kebocoran radiasi dikesan setakat ini, manakala kakitangan loji janakuasa itu dibenarkan untuk terus bekerja di tapak tersebut.
“Loji Nuklear Zaporizhzhia telah ditawan oleh Tentera Persekutian Rusia,” kata Inspektorat Kawal Selia Nuklear Ukraine dalam satu kenyataan.
Terdahulu,pertempuran antara askar Ukraine dan tentera Rusia yang mara ke bandar Zaporizhzhia mencetuskan kebakaran pada loji tersebut.
Stesen janakuasa itu terletak di tepi Sungai Dnipro, selatan Ukraine dan membekalkan satu perlima tenaga elektrik di Ukraine.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh Moscow menggunakan ‘keganasan nuklear’ dengan cuba mengulangi risiko bencana Chernobyl dan merayu pemimpin-pemimpin dunia supaya membantu Kiev.
“Tiada negara lain melainkan Rusia pernah membedil loji janakuasa nuklear,” katanya dalam satu mese video. – AFP