PASIR PUTEH – Ketam nipah yang dijual oleh peniaga di sekitar Kuala Semerak di sini mendapat permintaan tinggi meskipun harganya melonjak daripada RM35 kepada RM100 sekilogram sejak dua tahun lalu.
Peningkatan harga itu dipercayai disebabkan ramai orang mencari ketam nipah selepas didakwa boleh dijadikan sebagai makanan tambahan untuk menguatkan imunisasi pesakit Covid-19 tahap satu dan dua.
Seorang peniaga ketam nipah, Izman Fikri Mohamad, 21, berkata, sebelum negara dilanda musim Covid-19, harga ketam nipah yang merupakan hasil tangkapan dari kawasan sungai bakau tempatan dijual RM35 sekilogram.
Menurutnya, disebabkan permintaan tinggi, harganya kini boleh mencecah RM50 sekilogram malah mampu dijual RM100 sekilogram sekiranya ketam nipah gred A.
“Bekalan ketam nipah sukar diperoleh ketika ini sehingga kami terpaksa membelinya dari kawasan Pangkalan Gelap, Setiu di Terengganu selain bekalan dari beberapa lokasi di Johor.
“Bekalan 200 kilogram ketam nipah habis dijual hanya dalam tempoh tiga hari. Peningkatan harga ketam berlaku apabila permintaan tinggi, namun kurang bekalan ditambah pula dengan kos pengangkutan, katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Izman memberitahu, dia menjual ketam nipah mengikut saiz iaitu saiz kecil berharga RM50 sekilogram, saiz pertengahan (RM65 hingga RM80) dan saiz besar atau gred A (RM100) hanya untuk dua hingga tiga ekor.
Menurutnya, peniaga di Kuala Semerak telah bersepakat untuk menyeragamkan harga jualan ketam nipah ketika ini.