fbpx

KKM cadang ujian tambahan kes remaja mati mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman susulan kematian seorang remaja lelaki yang mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sendiri telah menyatakan komitmen untuk memastikan perkara tersebut disusuli dengan segera.

Katanya, pada hari ini beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr. Emizam Mohamadon telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa remaja tersebut.

“Perjumpaan telah diadakan bersama Naresh Kumar Lachmenou dan Vijayarani Govindan, iaitu bapa dan ibu kepada mendiang Revnesh Kumar, seorang remaja lelaki yang meninggal dunia secara mengejut di dalam komuniti pada 16 Januari.

“Dalam perjumpaan selama 30 minit di KKM, saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan dan Dr. Emizam telah memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian mendiang dan juga perancangan serta komitmen KKM untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang telah dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac untuk pengesahan.

“Laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas sesi peer-review tersebut.

“Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, beliau dan seluruh warga kerja KKM ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Revnesh Kumar atas pemergiannya.

“Perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan saya memohon masyarakat untuk menghormati privasi dan perasaan keluarga
mendiang.

Pada masa sama, saya juga memohon masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, remaja tersebut menerima suntikan vaksin Pfizer pertamanya pada 30 Disember di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya dan kemudian pada 16 Januari, dia tiba-tiba rebah dalam lif blok perumahannya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang seterusnya disahkan meninggal dunia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI