BENTONG – Seorang wanita ditimpa malang berganda apabila sebahagian otaknya terkeluar selepas melakukan pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya hingga membuatkan dia buntu mencari wang bagi menampung kos perubatan.
Mengimbau semula kejadian itu, Suriati Mokhtar, 37, dari Taman Saga di sini, memberitahu, pada mulanya dia sangka hanya menghidap migrain dan resdung apabila sering sakit kepala sejak tahun lalu.
Katanya, dia hanya mendapatkan rawatan di klinik dan doktor memberinya ubat tahan sakit selain mengatakan dia sekadar pening biasa.
“Lama-kelamaan, sakit saya makin teruk apabila penglihatan saya terjejas dan berbayang sebelum berjumpa pakar.
“Saya terkejut apabila doktor kata saya ada ketumbuhan sebesar bola golf dalam kepala,” katanya selepas menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh di sini semalam.
Menurut Suriati, dia kemudian menjalani pembedahan kepala bagi membuang ketumbuhan tersebut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 8 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada lima anak berumur satu hingga 18 tahun itu berkata, dugaan datang bertimpa apabila sebahagian otaknya terkeluar selepas dia membuka jahitan dua minggu lalu.
“Saya ingat bengkak biasa tetapi rupanya sebahagian otak yang terkeluar, jadi doktor menyatakan saya perlu melakukan pembedahan kepala sekali lagi bagi menghalangnya daripada terkeluar,” katanya.
Menurut Suriati, dia hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai runcit dan borong selain terbeban kerana perlu pergi ke Kuantan dua minggu sekali bagi melakukan rawatan.
“Saya belum pernah terima apa-apa bantuan. Kos yang perlu saya tanggung juga besar. Terima kasih kepada menteri besar yang prihatin dengan masalah saya,” katanya.
Sementara itu, Jasvir Singh berkata, sumbangan yang diberikan oleh menteri besar itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban Suriati dan keluarganya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Suriati iaitu 156132621535 atau menghubungi suaminya, Zulhisham Zainudin di talian 017-955 6887 / 012-953 4245.