fbpx

PRN Johor: 36,729 kertas undi pos dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan DUN.

“Kesemua 36,729 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.

“Ini termasuk 7,814 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 118 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 376 engundi tidak hadir (PTH) di luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, prosedur itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).

Suruhanjaya itu mengingatkan mereka supaya segera mengembalikan kertas undi kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang iaitu pada hari mengundi, 12 Mac ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI