TUMPAT – Beberapa keluarga di Kampung Bendang Pak Yong, Telok Jering dan Kajang Sebidang di sini mula membersih rumah mereka berikutan banjir di kawasan itu sudah mula surut sejak kelmarin.
Kebanyakan penduduk lega apabila banjir kali ini tidak meninggalkan kesan lumpur yang tebal sekali gus memudahkan mereka melakukan pembersihan di dalam rumah.
Seorang penduduk, Mek Jaffar, 58, berkata dia bersama tiga anak termasuk menantu bergotong-royong untuk membersih rumah mereka yang ditenggelami banjir setinggi hampir semeter.
“Banjir kali ini cepat naik, namun hanya melibatkan beberapa kawasan kampung sahaja. Sehingga kini, ada lagi rumah yang masih digenangi air.
“Meskipun lumpur tidak tebal, saya bersama keluarga tetap memerlukan masa sehari untuk membersih keseluruhan rumah kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Bendang Pak Yong, Telok Jering dan Kajang Sebidang di sini mendapati kampunya masih terjejas banjir dan masih tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Seorang penduduk Kampung Telok Jering, Zakaria Jusoh, 64, berkata, rumahnya hanya tenggelam tangga sahaja dalam banjir kali sebelum ia surut sepenuhnya dalam tempoh dua hari.
“Alhamdulillah, rumah saya tiada kesan lumpur dalam kejadian banjir ini. Ia sekali gus memudahkan kerja-kerja untuk membersih rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE