SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus tersebut sehingga 14 Mac depan.
Pengarah PSA, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, pihak pengurusan terpaksa menjadualkan semula tarikh pendaftaran pelajar ke kampus berikutan peningkatan semua kes Covid-19 di negara ini.
“Saya pasti para pelajar telah pun mendapatkan suntikan vaksin dan ramai juga telah mengambil suntikan dos penggalak. Bagi yang belum, saya sarankan agar berusaha mendapatkannya dengan secepat mungkin memandangkan kadar jangkitan yang tinggi ketika ini.
“Patuhlah dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Jagalah diri dan buat yang terbaik untuk meningkatkan survivability anda kerana suka ataupun tidak kita harus belajar untuk hidup bersama-sama virus ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Majlis Suai Kenal (MSK) secara dalam talian hari ini.
Seramai 317 pelajar baharu bagi sesi dua 2021/2022 yang mendaftar secara dalam talian pada 1 Mac lalu menjalani MSK secara maya dan berjaya menamatkan MSK dalam suasana norma baharu hari ini.
Pelbagai aktiviti dijalankan secara dalam talian sepanjang seminggu program berlangsung antaranya sesi bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum (JSKK), Unit Keusahawanan, Unit Peperiksaan serta Majlis Pewakilan Pelajar (MPP). -KOSMO! ONLINE