fbpx

Kerajaan tarik permohonan lucut hak RM16 juta milik keluarga Abdul Azeez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez

KUALA LUMPUR –  Kerajaan hari ini menarik semula permohonannya untuk melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai yang didakwa hasil daripada aktiviti wang haram milik ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk menarik balik permohonan pelucuthakan harta itu terhadap keluarga Abdul Azeez selaku responden.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berkaitan representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 februari 2022 di mana AGC bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut. Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan untuk melucut hak harta tersebut selain tarikh pendengaran yang telah ditetapkan sebelum ini pada 21 Jun dilapangkan.

Semasa prosiding peguam Sharvin Raj dan Datuk Prem Ramachandran mewakili keluarga Abdul Azeez.

Sebelum ini pada 16 November tahun lalu (2021) keluarga Abdul Azeez mengemukakan surat representasi kepada AGC dan difahamkan bahawa pihak AGC akan membincangkan representasi itu dalam masa tiga minggu.

Bagaimanapun pada 8 Februari lalu, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa AGC menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Abdul Azeez dan yang sebelum itu penolakan representasi tersebut elah dihantar kepada peguam responden pada 4 Februari lepas.

Dalam permohonan pelucuthakan tersebut, pemohon adalah kerajaan, responden merupakan isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd.Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd. sementara pihak ketiga yanh menuntut adalah Maybank Islamic Berhad.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September dua tahun lalu manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI