fbpx

Pengantin perempuan sanding tanpa suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurulaini selamat dinikahkan bersama pasangannya pada 1 Mac 2022 selepas pengantin lelaki selesai menjalani tempoh kuarantin akibat jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA – Setiap orang pastinya mengimpikan majlis persandingan yang diraikan dengan penuh kegembiraan bersama pasangan dan keluarga tersayang.

Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, banyak rancangan yang diatur terpaksa berubah pada akhir waktu disebabkan beberapa kejadian yang tidak dapat dielakkan.

Baru-baru ini kecoh di media sosial kisah seorang pengantin perempuan yang lengkap berbusana kurung moden berwarna hitam bersanding seorang diri tanpa suami dan majlis nikahnya juga belum sempat dijalankan.

Sebaliknya, pengantin tersebut ditemankan oleh ayahnya ketika berarak masuk ke meja makan beradab.

Peristiwa yang menyentuh hati ramai pihak itu dikongsikan oleh pengantin tersebut, Nurulaina Najwa di laman TikTok sehingga berjaya meraih lebih dua juta tontonan setakat ini.

“Terima kasih ayah teman orang berarak sampai ke meja makan beradab. Minta dihalalkan setiap titisan air mata ayah yang jatuh,” katanya.

Bercerita lanjut menerusi ruangan komen video berkenaan, Nurulaina memberitahu bahawa persiapan bagi majlis pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada 27 Februari lalu telah hampir 99 peratus siap.

Namun, tanpa disangka-sangka, pasangannya telah disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani tempoh kuarantin kurang seminggu sebelum akad nikah.

Disebabkan segala persiapan sudah lengkap dan kad jemputan juga telah diedarkan, maka kedua-dua belah pihak sepakat untuk meneruskan majlis tersebut dengan niat bersedekah kepada tetamu yang hadir.

“Persiapan dah 99 peratus, pihak katering makanan pun nak batalkan dah saat akhir sangat, kata muafakat kami tetap kena teruskan.

“Niat sedekah nak bagi orang makan kenyang-kenyang. Maka saya sanding tanpa belum nikah dan tanpa pengantin lelaki,” luahnya.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah selamat diijab kabulkan sehari selepas pengantin lelaki selesai menjalani tempoh kuarantin pada 28 Februari 2022 dan Nurulaini sekali lagi menggayakan busana sama yang dipakainya sebelum ini.

Sementara itu, bagi Nurulaini, dia akui tetap bersyukur kerana segala urusannya bersama pasangan dan keluarga berjalan lancar walaupun majlis pernikahannya terpaksa ditangguhkan selang dua hari dari tarikh yang sepatutnya.

“Alhamdulillah, dengan berwalikan ayahanda tercinta, saya selamat dinikahkan dengan sekali lafaz pada 1 Mac 2022.

“Semua berjalan lancar sebab Allah dah pilih kami untuk menghadapinya, sama-sama kita bersangka baik,” luahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI