fbpx

Kedutaan Rusia siar video penjelasan konflik dengan Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video Pavel Naydenov berucap menerusi laman sosial Kedutaan Besar Rusia bagi menjelaskan rasional negara itu menawan Ukraine.

PUTRAJAYA – Meskipun dikecam masyarakat dunia, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia ada cara tersendiri bagi menawan warganet yang tampak cenderung bersimpati kepada Ukraine.

Terbaharu, pejabat misi diplomatik negara terbesar di dunia itu memuat naik rakaman visual mengenai pencerahan konflik dengan Ukraine dalam mesej berbahasa Melayu sepenuhnya.

Ia disiarkan secara eksklusif menerusi laman sosial rasmi kedutaan berkenaan yang memiliki sekitar 5,400 pengikut susulan misi ketenteraan dilancarkan Rusia pada 24 Februari lepas.

Paling unik, hantaran berkenaan disampaikan sendiri oleh Penolong Duta Besarnya, Pavel Naydenov yang fasih berbahasa Melayu dengan sasaran khusus untuk penonton di Malaysia.

Beliau yang juga bekas peserta Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015, ternyata petah dalam menghuraikan rasional pencerobohan Rusia.

“Salam sejahtera, nama saya Pavel dan dalam video ini saya ingin menyentuh mengenai latar belakang kenapa Rusia terpaksa melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine,” jelasnya.

Beliau yang mewakili Duta Besarnya, Naiyl Latypov menerusi rakaman yang berdurasi tiga minit 43 saat itu turut lengkap mengenakan baju Melayu warna biru gelap dan segak bersongkok.

Dengan tajuk ‘Alasan operasi tentera Rusia di Ukraine’, inisiatif bernada propaganda kuasa dunia itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen di negara ini sama ada pro atau kontra.

Mesej penerangan dalam bahasa kebangsaan itu ternyata memang tidak dituju khas kepada lebih 5,000 warga Rusia yang berada di Malaysia ketika ini sama ada bekerja atau belajar.

Apa yang menarik, ini juga merupakan penampilan kali kedua Pavel selepas muncul pada 27 Februari lalu dengan video bertajuk ‘Apa telah berlaku di Ukraine?’ selama satu minit 58 saat.

Beliau turut muncul dengan berpakaian baju Melayu tanpa songkok bagi menghuraikan kisah di sebalik tabir konflik yang langsung memang tidak diceritakan oleh media Barat selama ini.

Langkah Kedutaan Besar Rusia amat proaktif menangkis dakyah seterunya terutama Amerika Syarikat (AS) membuktikan ‘perang’ media massa membawa dimensi baharu konflik sejagat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI