KOTA KINABALU – Pengoperasian semula syarikat penerbangan Firefly di Sabah dilihat mampu memberi pilihan kepada penumpang terutama ketika musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, syarikat berkenaan dijangka bakal memulakan penerbangan pergi balik di antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pada 11 April depan.
“Laluan baharu ini menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan hab Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
“Kita menjangkakan laluan penerbangan di antara dua lokasi ini akan mendapat sambutan menggalakkan berikutan kedua-duanya adalah lokasi tumpuan, bukan sahaja ketika perayaan, malah sewaktu tibanya musim cuti sekolah dan cuti umum,” katanya ketika ditemui ketika sesi pertemuan bersama media, di sini hari ini.
Philip memberitahu, laluan tersebut akan dilancarkan tiga minggu sebelum waktu kemuncak musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Bermula 11 April, penerbangan pergi balik Pulau Pinang-Kota Kinabalu beroperasi sekali sehari sebelum ditambah dua kali sehari bermula 25 April.
“Hal ini disebabkan penerbangan dijangkakan penuh minggu pertama Mei berikutan perayaan Hari Raya Aidilfitri selain sambutan Pesta Kaamatan serta Hari Gawai pada penghujung bulan sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE