Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Kawasan menempatkan longgokan sisa buangan tandan kelapa sawit seluas kira-kira 0.8 hektar terbakar di Kilang Sawit Felcra Bukit Kapah di sini semalam.
Kebakaran yang bermula pada pukul 5.37 petang itu setakat ini masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya sehingga hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Salleh Abdullah berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kebakaran itu.
“Operasi pemadaman bermula pada pukul 5.54 petang semalam (kelmarin) menggunakan teknik ‘fire break’ selain penggunaan jengkaut bagi melakukan semburan air ke lokasi kebakaran.
“Laluan perparitan juga dibuat bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman api kebakaran,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Salleh berkata, seramai 15 anggota bomba ditugas secara bergilir-gilir mengikut syif untuk memadamkan api kebakaran yang disebabkan sisa buangan tandan kelapa sawit tersebut.
Menurut beliau, setakat ini kebakaran tersebut sudah berjaya dikawal daripada merebak ke lokasi lain di dalam kilang kelapa sawit berkenaan dan usaha untuk memadamkan sepenuhnya api kebakaran tersebut sedang giat dilakukan. – K! ONLINE