ALOR SETAR – Ketika perniagaan katering hampir ‘bungkus’ disebabkan pandemik Covid-19, seorang peniaga bangkit mengusahakan kedai Nasi Kenduri Kahwin Viral pada tahun lalu.
Menurut Hasbullah Shafie, 56, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, perniagaan katering yang diusahakannya masih sukar bertahan kerana majlis dan kenduri tidak boleh dijalankan secara besar-besaran.
“Sebelum pandemik, saya menerima tempahan katering untuk 1,000 hingga 2,500 tetamu, namun sekarang kehadiran tetamu dihadkan kepada 500 orang.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan menjual nasi Arab secara dalam talian selain membuat penghantaran ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hasbullah berkata, dia kemudiannya mencari pendapatan tambahan dengan membuka kedai menjual nasi dan lauk kenduri.
“Cawangan pertama kedai nasi kenduri dibuka berdekatan Masjid Aman di sini pada November tahun lalu, manakala cawangan kedua pula dibuka sebulan selepas itu yang beroperasi di Jalan Langgar berdekatan Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
“Alhamdulillah, orang ramai yang teringin untuk menikmati nasi dan lauk kenduri, mereka boleh mendapatkannya di dua cawangan kedai saya,” katanya yang sudah 11 tahun terlibat dalam bisnes katering.
Antara juadah yang disediakan adalah nasi minyak, ayam masak merah, kurma kambing, daging masak hitam, acar buah, dalca dan gulai batang pisang.
“Menu paling popular adalah ayam masak merah dan daging masak hitam. Setiap hari kami memasak lebih 40 kilogram beras. Hidangan nasi minyak, ayam masak merah, dalca dan acar dijual bermula RM7.50,” ujarnya.
Hasbullah bercadang untuk membuka satu lagi cawangan berhampiran Stadium Darul Aman selepas ini.