fbpx

Harimau Malaya fokus ‘takluk’ Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

SETIAP rakyat Malaysia pasti mahu melihat skuad Harimau Malaya dapat beraksi di pentas Piala Dunia pada satu hari nanti. Pasang impian tak salah, tetapi haruslah bersikap realistik.

Ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon mencipta sensasi tersendiri pada majlis per­kenalan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menyuarakan pendapat pasukan kebangsaan memiliki ramuan untuk beraksi pada Piala Dunia dalam masa terdekat.

Ini bukan perkara baharu kera­na pada tahun 1990-an sudah ada jangkaan. Bagaimanapun, hakikat serta kualiti bola sepak negara ibarat ‘jauh panggang dari api’.

Apa yang lebih relevan ketika ini sudah tentu meneruskan teras asas dalam Peta F:30 yang dirancang FAM sebelum ini dengan mendominasi di pe­ringkat serantau terlebih dahulu khususnya di Asia Tenggara.

Seandainya mampu mengekalkan prestasi konsisten pada kejohanan dwitahunan seperti Piala (Persekutuan Bola Sepak Asia) Suzuki, mungkin pasukan boleh berusaha untuk memandang lebih jauh dengan tampil cemerlang pada Sukan Asia.

Pandangan itu dipersetujui penganalis sukan negara, Dr. Pekan Ramli yang menyifatkan sasaran yang dibuat oleh Pan-gon ketika ini terlalu sukar untuk dijangkau, sebaliknya adalah lebih baik beliau memikirkan cara untuk memulihkan reputasi pasukan.

“Siapa sahaja boleh buat sasaran, namun adakah sasaran (beraksi Piala Dunia) praktikal dan logik untuk direalisasikan dalam masa terdekat kerana bagi saya ia belum realisitik.

“Keadaan sekarang masih belum sesuai terutama apa yang berlaku dengan skuad negara di pentas antarabangsa tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pekan berpendapat Pan-gon perlu menyediakan garis masa dan menantikan kelahiran pemain muda yang lebih berbakat selain memastikan barisan teknikal FAM fokus dengan pembangunan peringkat akar umbi.

“Senario sekarang nampak agak goyah terutama apabila skuad bawah 23 (B-23) negara yang beraksi hambar pada kempen Piala AFF B-23 di Kemboja.

“Justeru, saya anggap garis masa yang sesuai buat Pan-gon memastikan dalam tempoh dua hingga lima tahun nanti, Malaysia dapat menguasai Asia Tenggara secara konsisten dan lebih baik dari Vietnam dan Thailand.

“Selepas lima tahun, mungkin kita boleh fokus dengan kempen Piala Asia dan menjadi salah satu pasukan terbaik di benua ini sebelum memikirkan peluang ke pentas Piala Dunia,” katanya.

Sementara itu, bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Radzak berharap persepsi negatif tidak dilontarkan kepada pengendali import Korea Selatan tersebut terlalu awal selain memberikan masa buatnya membentuk ‘ramuan’ tersendiri.

“Sebagai pemain yang pernah bermain dalam skuad nasional, saya anggap siapa sahaja yang dilantik menjadi ketua jurulatih memikul tugas dan tanggungjawab yang berat khususnya pengendali dari luar negara.

“Saya harap semua pihak mengambil situasi daripada sudut positif,” katanya.

Semoga Pan-gon dapat me­nyembuhkan ‘luka’ skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jun ini.

Namun, corak taktikal Pan-gon akan dapat dilihat buat kali pertama pada aksi persabahatan antarabangsa menentang Si­ngapura dan Filipina yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada hujung bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI