SHAH ALAM – Hujan lebat berterusan mengakibatkan ban berdekatan pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, pecah malam ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu dipercayai menyebabkan berlaku limpahan air ke kawasan perumahan berdekatan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, tujuh anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian berkenaan sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.15 malam.
“Pemeriksaan awal mendapati ban pintu kunci air itu pecah dan berlaku limpahan setinggi 0.6 meter sehingga paras tebing.
“Keadaan itu turut dikhuatiri menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya kini dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan.-KOSMO!ONLINE