PUTRAJAYA – Siapa sangka selepas setahun, Sambal Nyet Berapi ciptaan Cef selebiti media sosial, Khairulaming sudah mencecah jualan RM7.5 juta dengan 540,000 botol telah terjual.
Lebih membanggakan, produk itu kini dikeluarkan sepenuhnya dari kilangnya sendiri di Kota Bharu, Kelantan iaitu negeri kelahiran pemilik nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 30, itu.
Khairulaming berkongsi berita gembira itu kepada peminat dan pelanggan produknya menerusi aplikasi sosial TikTok, hari ini.
Menurutnya, kilang yang dibangunkan dengan kos sekitar RM1 juta itu mempunyai keluasan kira-kira 14,000 kaki persegi.
“Saya mengambil keputusan untuk membuka kilang pengeluaran sendiri kerana ingin belajar proses pengeluaran daripada awal sampai akhir.
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua kerana menyokong Sambal Nyet Berapi dari awal ia dilancarkan sehinggalah kini,” katanya.
Khairulaming yang terkenal dengan tagine ‘Hi, what’s up gais’ itu mencetuskan fenomena di negara ini apabila produknya itu berjaya terjual 10,000 botol dalam tempoh tiga minit di Shoppe pada 10 Oktober tahun lalu. – KOSMO! ONLINE