Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Orang ramai kini berpeluang menyumbangkan penulisan khutbah untuk Solat Jumaat dan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penyertaan tersebut terbuka kepada individu beragama Islam (lelaki dan wanita) warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Katanya, pihak jawatankuasa kemudiannya akan melakukan pindaan dan membawa teks khutbah yang terpilih ke Mesyuarat Jawatankuasa Khutbah negeri untuk penilaian dan kelulusan.
“Bagi penulisan khutbah yang lulus untuk dibacakan, penulis akan menerima insentif bernilai RM400 bagi teks khutbah Jumaat manakala RM600 bagi penulisan teks khutbah Hari Raya.
“Mereka yang berminat boleh menghubungi Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS di talian 03-5514 3673 atau menghantar kiriman emel kepada [email protected],” katanya kepada Kosmo! selepas melancarkan sistem Evokhutbah di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Menurut beliau, penerimaan teks khutbah sebelum ini dilakukan secara manual dan mengambil tempoh lama untuk diproses bagi sesebuah penerbitan.
Mohd. Shahzihan menambah, menerusi Evokhutbah itu memudahkan sistem penulisan khutbah secara atas talian kepada umum.
“Sistem baharu itu membantu para penulis khutbah menghasilkan karya dan citra Islam terbaik menerusi huraian yang tepat serta jelas dalam tempoh bacaan 15 minit.
“Selain itu, ia menjadi garis panduan penulisan atas talian yang akan diperhalusi Jawatankuasa Khutbah negeri tanpa mengubah susunan fakta, bahasa dan plot penceritaan peribadi penulis asal,” katanya. – K! ONLINE