JAKARTA – Kerajaan Indonesia telah memindahkan 31 warganya yang tinggal di Ukraine ke negara jiran Poland dan Romania, lapor The Jakarta Post, kelmarin.
Penempatan ke negara jiran Ukraine itu adalah buat sementara waktu sebelum urusan penerbangan pulang ke tanah Indonesia diuruskan pihak kedutaan.
Sekumpulan 25 rakyat Indonesia telah dipindahkan dari Odessa yang terletak di selatan Ukraine dan tiba di Romania hujung minggu lalu.
Satu lagi kumpulan melibatkan enam warga Indonesia dan satu pasangan asing telah dipindahkan dari Lviv di barat Ukraine dan tiba di Rzeszow, Poland, kelmarin.
Kedutaan Indonesia di Kiev menyelaraskan pemindahan menerusi bas dengan kedutaan di Bucharest membantu pemindahan ke Romania dan kedutaan di Warsaw membantu pemindahan ke Poland.
“Kerajaan telah memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat di Poland dan Romania serta akan menyediakan pilihan penerbangan untuk pulang ke tanah air.
“Pengurusan penerbangan pulang sedang diaturkan dengan kadar segera kerana banyak lapangan terbang ditutup akibat peperangan ini,” kata Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizasyah. – Agensi