PETALING JAYA – Pendedahan pelakon Mona Allen yang mendakwa dirinya sengaja dicekik oleh Iqram Dinzly ketika menjayakan penggambaran drama lakonan mereka, Hati Yang Dikhianati semalam menerima pelbagai respons daripada netizen.
Walaupun mengakui dirinya banyak kali dicekik oleh Iqram yang dilabelkan Mona sebagai lelaki psiko, namun netizen mendakwa kejadian tersebut hanyalah gimik dan publisiti untuk melariskan drama mereka.
Memberi respons terhadap kecaman netizen, Mona menerusi InstaStorynya berkata, terpulang kepada netizen untuk menentukan sama ada kejadian cekik yang menimpanya benar atau palsu semata-mata.
Pun begitu ujar Mona, 37, dia tidak dapat menerima pandangan sesetengah pihak yang seakan-akan bersetuju atas tindakan Iqram betul-betul mencekik lehernya supaya watak pelakon itu dapat dihidupkan dengan baik.
“Komen paling cerdik pandai dari seseorang, dia cakap mestilah kena buat betul-betul untuk hidupkan karakter mamat (Iqram) tu. Apa? Apa? Serius lah adik?” soalnya.
Jelas isteri kepada pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim itu, apa yang dinamakan sebagai lakonan mestilah dilakukan secara olok-olok dan tidak perlu melakukan sesuatu babak dengan betul terutamanya jika melibatkan tindakan berbahaya.
“Ini namanya lakonan, tak perlu buat betul-betul. Kita manusia ya, ada rasa sakit. Lakonan ada teknik yang perlu dipelajari untuk nak menampakkan babak itu ‘real’.
“Kalau kena buat betul-betul, ramailah artis mati, cedera dan lupus di muka bumi ini. Bayangkan kalau buat babak bunuh, kena buat betul-betul? Adoi, tak boleh terima lah mentaliti sesetengah manusia,” luahnya.
Semalam, dunia hiburan kecoh selepas berlaku perang mulut antara kedua-dua pelakon itu menerusi Instagram masing-masing apabila Mona mendakwa Iqram mencekiknya dengan sengaja ketika di set penggambaran.
Bukan sekali dua bahkan berkali-kali Iqram didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga membuatkan Mona menanggung kesakitan akibat dicekik.
Kekecohan insiden tersebut pantas menarik perhatian ramai termasuklah penyanyi rap dan aktivis, Daddycap yang memberi ulasan selepas diminta netizen berbuat demikian.
Kata Daddycap atau nama sebenarnya Ariz Ramli, dia percaya pertengkaran yang berlaku antara Mona dan Iqram adalah rekaan semata-mata daripada pihak produksi untuk viral dan mempromosikan drama tersebut. – KOSMO! ONLINE