Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berdiam diri mahupun menghentikan usaha mengesan lokasi bekas suami dan anak perempuan bongsu M. Indira Ghandi yang dikatakan berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebaliknya memberi jaminan yang usaha berterusan dilakukan pihaknya dalam mencari jalan penyelesaian sewajarnya bagi mempertemukan Indira Gandhi dengan Prasana Diksa.
Katanya, ini termasuk menubuhkan pasukan yang diketuai pegawai kanan polis untuk berunding dan memujuk bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah.
“Walaupun tidak dapat bertemu secara bersemuka (dengan Muhammad Riduan) tetapi kita menggunakan perantara, ada komunikasi (antara mereka). Isu ini begitu sensitif dan kita mesti menghormati privasi keluarga terutama anak itu sendiri.
“Oleh sebab itu daripada mula lagi kita mengambil tindakan di bawah radar, tidak mahu bising-bising atau ada unsur politik mahupun pihak berkepentingan untuk masuk campur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) sebagai Approved Training Organisation-Flight Training Organisation (ATO-FTO) dan Approved Training Organisation-Type Rating Training Organisation (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengerusi CAAM, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman di Auditorium PLPGU di sini hari ini.
Menurut Abdul Hamid, pada peringkat awal perundingan bersama Muhammad Riduan, berjalan lancar namun terganggu dengan beberapa isu yang timbul termasuk laporan akhbar.
“Saya mahu dedahkan bahawa pada satu masa rundingan itu sangat positif tetapi apabila ada berita tidak baik disiarkan dan ada pula komen-komen negatif daripada pelbagai pihak, maka dia menarik diri daripada memberi kerjasama.
“Daripada awal lagi saya katakan, benarkan kami untuk lakukan tugas. Saya berjanji akan selesaikan dengan teliti dan bukan hanya cakap-cakap kosong,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya memahami beban psikologi yang ditanggung Indira Gandhi dan bekas suami serta anak-anak mereka dan akan membawa Muhammad Riduan dan anak perempuannya itu pulang ke negara ini mengikut perintah mahkamah.
Pada tahun 2009, Muhammad Riduan atau K. Pathmanathan membawa Prasana yang berusia 11 bulan dan menukarkan agama dua lagi anaknya, Tevin Darsiny, 12, dan Karan Dinish, 11, kepada Islam tanpa pengetahuan Indira Gandhi.
Bagaimanapun pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi itu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang. – K! ONLINE