KULAI – Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Mohd. Azrol Ab. Rahani mendakwa parti baharu itu menerima layanan ‘dua darjat’ sejak hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd. Azrol mendakwa, perkara itu susulan ceramah Muda yang diadakan di pekarangan bilik gerakan parti itu diserbu pihak polis, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pukul 8.40 malam semalam.
Beliau berkata, Muda diarah menghentikan ceramah atas alasan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu mengadakan program di luar premis.
“SOP tak menyatakan yang kami tak boleh buat ceramah di sekitar perkarangan bilik gerakan manakala pihak berkuasa tetap bertegas kami perlu buat ceramah di bilik gerakan sahaja.
“Bilik gerakan kami tak sesuai kerana terlalu kecil untuk memuatkan 100 orang, sebab itu kami putuskan ceramah di sekitar bilik gerakan. Kami patuhi segala SOP dan sudah mendapatkan permit tetapi tetap dihalang berulang kali.
“Yang hairannya, mereka (penguat kuasa) sudah berada di kawasan berhampiran sejak pukul 7 malam lagi, kenapa tidak tegur kami sejak awal lagi ketika sedang buat persiapan mengadakan ceramah itu,” soalnya pada sidang akhbar di bilik gerakan Muda DUN Bukit Permai, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE