KUALA TERENGGANU – Seramai 131 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir menduduki hari pertama peperiksaan dengan berselipar dan berpakaian biasa di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini hari ini.
Mereka yang pelajar SMA Mahmudiah, Kuala Berang, Hulu Terengganu dipindahkan ke SMAASZA sejak Jumaat lalu setelah sekolah dan rumah mereka dilanda banjir.
Salah seorang calon, Nur Amni Syuhadah Mohd. Zahrulnizam, 18, mengakui emosi dia dan kawan-kawan berbelah bahagi untuk mengambil peperiksaan SPM dalam keadaan tidak sempurna.
“Semua nota ulang kaji yang saya telah disiapkan selama ini habis dihanyutkan banjir lumpur.
“Saya hanya mampu berdoa agar kami dapat menjawab kertas peperiksaan dengan tenang dan tabah walaupun janggal dalam keadaan kurang sempurna dan pusat peperiksaan berbeza,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SMAASZA di sini hari ini.
Seorang lagi calon, Ahmad Naqiuddin Mohamad Zaki, 18, berkata, dia dan rakan-rakan sekolahnya hanya berpakaian biasa dan berselipar kerana kesemua kelengkapan sekolah sudah musnah akibat banjir.
Katanya, dia kini hanya mampu mengulang kaji dengan nota rujukan yang dikongsi rakan-rakan sekolah lain menerusi telefon bimbit.
“Saya cuba menenangkan diri untuk menjawab kertas peperiksaan dengan banyak berzikir dan beristighfar,” katanya. – KOSMO! ONLINE