KANGAR – Keluarga kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan untuk tidak membenarkan orang yang tinggal di luar Perlis berkunjung ke rumah bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.
Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, calon serta ahli keluarga serta pengawas peperiksaan juga diminta untuk tidak pergi ke tempat berisiko sepanjang peperiksaan berlangsung.
Katanya, calon yang menduduki peperiksaan hari ini telah membuat deklarasi bahawa mereka bebas daripada Covid-19.
“Cabaran yang kita hadapi adalah banyak pengawas peperiksaan yang positif iaitu sebanyak 10 hingga 15 peratus.
“Namun begitu, kita bernasib baik kerana kita sudah bersedia lebih awal dengan pengawas simpanan yang dapat membantu,” katanya selepas mengadakan tinjauan di pusat peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE