PUTRAJAYA – Seramai 1,797 calon berdaftar terdiri daripada 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 11 pusat peperiksaan di sini hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, bagi memastikan kelancarannya serta keselamatan calon dan petugas, pihaknya mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasi Sekolah 3.0.
“Perkara yang kami tekankan ialah prosedur operasi standard (SOP) dan pagi ini, calon diambil suhu sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka mengisi Borang Deklarasi Saringan Covid-19 Peperiksaan mengenai keadaan kesihatan mereka dan diserahkan kepada guru yang bertugas.
“Mereka dinasihatkan selalu memakai pelitup mulut dan hidung, jarak setiap calon juga 1.5 meter, manakala bagi petugas perlu sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung.
“Mereka juga menggunakan sarung tangan sewaktu menguruskan pemberian kertas soalan dan mengambil kertas jawapan calon,” katanya sewaktu meninjau pelaksanaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini.
Katanya lagi, untuk calon yang didapati bergejala, mereka akan diasingkan ke bilik khas bagi mengelakkan gangguan kepada calon yang lain serta keadaan mereka turut dimaklumkan kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, Farizah berkata, setakat ini seramai 46 calon SPM di Putrajaya disahkan positif Covid-19 manakala, 22 calon pula kontak rapat dan mereka tidak hadir bagi menduduki SPM hari ini. – KOSMO! ONLINE