SHAH ALAM- Seramai 73,938 pelajar di Selangor menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021, yang bermula hari ini sehingga 29 Mac depan.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Nor Faridah A. Bakar berkata, jumlah itu termasuk calon persendirian dan calon berkeperluan khas di 508 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
“Sebanyak 219 calon SPM tidak mengambil peperiksaan hari ini kerana dijangkiti Covid-19.
“Sekiranya sudah pulih, mereka boleh menduduki peperiksaan pada minggu depan,” katanya selepas meninjau pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, di sini, hari ini.
Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! mendapati pelajar hadir ke sekolah seawal pukul 6.30 pagi dengan mereka diminta mendaftar kehadiran mereka menerusi aplikasi MySejahtera.
Sebaik sahaja sampai di sekolah, pelajar ini menelaah beberapa minit sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan pukul 7.45 pagi.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 7, Datuk Mohd. Isa Ishak berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan majlis bacaan Yassin secara atas talian bersempena dengan SPM kali ini
“Selain itu, kami juga ada menyediakan sarapan kepada pelajar ini untuk pastikan mereka tidak lapar ketika mengambil peperiksaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE