IPOH – Seramai 33,149 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh negeri telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu bermula hari ini sehingga 29 Mac depan.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azmi Dahali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 31,658 calon sekolah dan 1,491 lagi calon persendirian.
Katanya, seramai 115 calon pula dikenal pasti sebagai calon berkeperluan khas.
“Daerah Kinta Utara merekodkan jumlah calon tertinggi seramai 9,025 orang diikuti Larut Matang dan Selama (4,345), Manjung (3,210), Batang Padang dan Muallim (2,751), Kuala Kangsar (2,726) dan Kerian (2,696).
“Kesemua calon tersebut menduduki peperiksaan berkenaan di 328 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan dikendalikan petugas peperiksaan seramai 3,666 orang.
“Daripada jumlah itu, seramai 103 orang bertanggungjawab sebagai penyelia kawasan peperiksaan manakala 328 orang pula bertindak sebagai ketua pengawas,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai dua calon lelaki terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Taiping dan Teluk Intan kerana sakit. – KOSMO! ONLINE