fbpx

‘Tak pakai tudung tapi saya ingat Allah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AVAA VANJA kini hanya mahu mendapatkan hak penjagaan penuh terhadap anaknya, Merlissa.

PETALING JAYA – Pelakon Avaa Vanja optimis bahawa perceraian adalah jalan bahagia buat dirinya berbanding terus melayari bahtera perkahwinan yang sia-sia.

Kata pemilik nama lengkap, Avaa Vanja Mohamad Ramli itu, sebagai seorang wanita berdikari, dia sudah puas merana sepanjang perkongsian hidup dengan bekas suami, Aamil Sulaiman sejak 11 tahun lalu.

“Apa yang berlaku, saya serahkan semuanya kepada Allah SWT. Insya-Allah, anak pun sudah berusia 10 tahun.

“Esok (hari ini) adalah perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak. Anak (Merlissa) dah boleh buat pilihan. Hakim akan panggil dan akan tanya sama ada mahu (dijaga) ibu atau ayah,” katanya.

Avaa yang cukup dikenali menerusi watak Ayu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ditemui pada sidang media pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie di KL Jazz % Arts Centre (KLJAC) semalam.

Ditanya tentang kehidupan terkini berstatus janda selepas 11 tahun berkongsi hidup dengan bekas suami, Avaa mengakui bahawa perceraian merupakan satu proses rumit.

Jelasnya, keputusan untuk berpisah diambil demi masa depan diri sendiri dan terutama, untuk cahaya mata yang semakin membesar.

“Sejujurnya, perceraian bukan satu proses yang mudah terutama kalau memang sudah tiada persefahaman. Ada wanita yang hidup terkontang-kanting dan teraniaya sebab nak bercerai.

“Ada antara mereka yang ada bukti kukuh (nak bercerai) tapi tiada duit, tiada peguam dan sebagainya.

“Saya bersyukur urusan saya dipermudahkan sebab kita tahu hukum hakam Islam. Kalau benar memang dah tiada persefahaman, biarkan mahkamah yang buat keputusan sebab agama kita ada undang-undang,” katanya.

Bercerita lanjut, pengorbanan 11 tahun berkongsi hidup dengan bekas suami tidak dihargai. Justeru, dia membulatkan tekad berpisah dan seterusnya, membina kehidupan sendiri.

“Hubungan macam tiada makna bermula sejak kes polis yang saya dedahkan sebelum ini. Saya buat keputusan bahawa adalah tak baik untuk anak membesar dengan hubungan seperti ini.

“Untuk dia (anak) lihat benda yang tak bagus, saya berkeras kepada diri cakap, sudah sampai waktu saya bertegas sebab saya pun bukannya muda lagi.

“Biarpun saya tak bertudung tapi saya masih ingat Allah SWT. Itu yang menguatkan saya dan mendorong untuk bertindak dan melakukan sesuatu,” ujarnya.

Banyak berkorban sepanjang tempoh perkahwinan, Avaa memberitahu dirinya terpaksa melupakan cinta dalam dunia seni disebabkan ingin memberi fokus rumah tangga namun semuanya seperti tidak dihargai.

“Lima tahun pertama perkahwinan, memang susah. Dia (bekas suami) belajar di luar negara lebih kurang tiga tahun. Saya jaga diri sendiri, hamil dan bersalin pun sendiri.

“Anak umur dua tahun setengah baru dia ada di sini (Malaysia). Tinggal rumah sebumbung, macam alamak, dua budaya yang berbeza.

“Saya jenis fleksibel dan suka ikut rentak tapi lama-kelamaan tahap kesabaran saya dah memuncak. Selama 11 tahun bertahan, tahap kesabaran memang sangat tinggi. Dah meletup, dan kemudian saya fikir, sudah sampai waktu buat keputusan.

“Nasihat saya buat orang wanita di luar sana, kalau rasa macam ada salah (dalam perkahwinan), pergilah dapatkan pendapat dan bantuan. Kita orang wanita ada hak sendiri,” katanya.

Terdahulu, Avaa yang menfailkan tuntutan fasakh dan hadhanah (hak penjagaan anak) pada Disember 2021 dan bercerai talak satu dengan Aamil yang seorang juga pemuzik.

Ketika itu, Avaa diberikan hak penjagaan sementara satu-satunya cahaya mata mereka, Merlissa, 10.

Oktober tahun lalu, Avaa juga ada membuat laporan polis mendakwa dirinya dan anak berdepan penderaan domestik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI