fbpx

7 SJR, tiga laluan ditutup PKPD Kota Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penutupan jalan Lebuhraya Darulaman di Kepala Batas menghala pusat bandar Alor Setar dilakukan anggota polis tengah malam tadi.

ALOR SETAR – Polis melakukan tujuh sekatan jalan raya (SJR) dan menutup tiga laluan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah ini susulan wabak Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga mulai pukul 12.01 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, tujuh SJR terlibat adalah di hadapan Balai Polis Kepala Batas, hadapan Balai Polis Alor Janggus, Plaza Tol Alor Setar Utara, Plaza Tol Alor Setar Selatan dan Jalan Hutan Kampung.

“Dua lagi SJR dilakukan di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah dan hadapan Restoran Haji Ramli di Simpang Empat,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kepala Batas malam tadi.

Kata beliau, sebanyak tiga laluan ditutup iaitu jalan utama dari Jitra menghala Lebuhraya Darulaman di Kepala Batas serta laluan masuk Plaza Tol Alor Setar (Utara) dan laluan keluar di Plaza Tol Alor Setar (Selatan).

“Semua SJR dan penutupan jalan adalah melibatkan sempadan 28 mukim di Kota Setar yang dikenakan PKPD,” ujarnya.

Menurut Mohd. Redzuan, sebanyak 21 pasukan pemantau akan melakukan rondaan di kawasan perintah kawalan pergerakan itu bagi memastikan semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kira-kira 350 petugas termasuk anggota tentera terlibat dalam penugasan sepanjang PKPD setakat ini,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan tiada penduduk yang cuba mengambil kesempatan dengan keluar dari kawasan PKPD menggunakan lorong tikus.

Pada masa sama, kata beliau, penduduk diminta membuat permohonan dengan balai polis berhampiran jika memerlukan mereka keluar atau masuk ke kawasan PKPD atas alasan kukuh.

“Perkhidmatan perlu termasuk perkhidmatan penghantaran juga perlu mendapatkan kebenaran pihak polis terlebih dahulu sepanjang tempoh PKPD ini,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI