PUTRAJAYA – Berita baik buat rakyat Kelantan apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal membuka bidaan bagi siri nombor pendaftaran ‘DEH’ tidak lama lagi.
Siri nombor pendaftaran DEH mungkin kedengaran biasa bagi orang lain tapi sebenarnya ia amat-amat dinanti oleh ‘ore kelate’.
Istilah deh mengikut wikiwand.com adalah sejenis bunga bahasa yang kerap dituturkan masyarakat Kelantan dalam perbualan mereka seharian.
Deh bermaksud baik atau okey dan ia biasanya dituturkan di belakang sesuatu ayat samada untuk memohon restu atau persetujuan.
Sebagai contoh: “Pakat mari deh (Nanti datang okey?… atau bo wak gitu deh (Jangan buat macam tu lagi okey?.
Menerusi hantaran di laman rasmi Facebook JPJ hari ini, siri nombor pendaftaran itu akan dibuka untuk bidaan selama lima hari bermula 17 hingga 21 Mac ini dan tarikh keputusan bidaan pula akan diumumkan pada 22 Mac ini.
Bidaan siri nombor berkenaan boleh dibuat secara atas talian menerusi pautan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid), https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/. – KOSMO! ONLINE.