ISU kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 kembali menjadi perhatian baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberi bayangan kerajaan akan membuat penetapan gaji minimum RM1,500 sebelum hujung tahun ini dan disambut baik oleh pekerja.
Bagi golongan pekerja, kenaikan itu sudah pasti memberi sedikit kelegaan, namun bagi majikan pula kenaikan tersebut akan memberi tekanan kepada aliran tunai selepas mengharungi fasa pandemik Covid-19.
Langkah rangkaian pasar raya AEON melaksanakan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 berkuat kuasa 1 Januari lalu turut mendapat perhatian ramai.
Bagi Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani, kerajaan tidak boleh menangguhkan kenaikan gaji minimum dengan mengambil kira keadaan ekonomi sekarang memandang gaji minimum ketika ini adalah tidak sesuai.
“Pengumuman kerajaan mahu melaksanakan gaji minimum pada hujung tahun ini dilihat sangat lambat, ia perlu dipercepatkan kerana kenaikan harga barangan pada masa kini lebih cepat berbanding kenaikan gaji.
“Kali terakhir (gaji minimum) dilaksanakan pada 2019. Mengikut Akta 372, sepatutnya pada tahun ini pengumuman kenaikan gaji minimum perlu dibuat.
“Kelewatan ini adalah disebabkan faktor politik, ekonomi dan kesihatan. Apabila berlaku perubahan kerajaan, maka berlaku sedikit kelewatan untuk kajian pelaksanaan kenaikan, tetapi dalam keadaan sekarang kerajaan tidak boleh tangguh lagi,” katanya.
Menurut beliau, kenaikan gaji minimum akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tinggi dan kesan jangka masa panjang adalah dapat melonjakkan ekonomi negara sekiranya Malaysia ingin mencapai status negara maju sekali gus mewujudkan situasi menang-menang di antara majikan dan pekerja.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula berpendapat, kerajaan perlu memperincikan kategori pelaksanaan gaji minimum memandangkan cadangan tersebut dibantah kebanyakan majikan.
“Jika diikutkan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang, kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 adalah wajar, tetapi banyak bantahan ditimbulkan oleh majikan. Apabila ada kenaikan, ia akan memberi kesan dan mungkin majikan terpaksa memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos operasi.
“Jadi kerajaan perlu membuat perincian, mungkin bukan semua pekerja perlu diletakkan kategori gaji minimum sebagai contoh pekerja tetap atau pekerja kontrak,” jelasnya.
Mohd. Yusof turut berpendapat, kenaikan gaji minimum dibimbangi akan menjejaskan kos operasi dan terpaksa mengehadkan jumlah pengambilan pekerjaan kerana bergantung kepada tahap kemampuan kewangan syarikat.
“Jika sebelum ini majikan boleh menggaji dua pekerja, tetapi dikurangkan seorang. Kerajaan boleh beri kelonggaran kepada industri-industri tertentu. Misalnya amah, jika sudah disediakan tempat tinggal, makanan adakah wajar diberi gaji RM1,500?” soal beliau.
Justeru, kerajaan perlu mencari jalan mengimbangi keperluan rakyat dengan melaksanakan dasar dan polisi yang memberi keuntungan semua pihak memandangkan cabaran ekonomi masih memberi kesan kepada banyak pihak pada masa kini. -KOSMO! ONLINE