fbpx

Pulau Batu Puteh, PM dan kerajaan mohon batal saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Batu Putih. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia, ketika dihubungi berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Februari iaitu semalam.

Ahmad Hanir berkata dalam pengurusan kes hari ini, prosiding dibuat secara dalam di hadapan Penolong Pendaftar Haslinda A.Raof.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Sementara itu peguam Mohaji Selamat yang mewakili individu tersebut Mohd. Hatta ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dokumen-dokumen dan bahan dalam kes saman berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh tidak didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan pemohonan perintah perlindungan yang difailkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pada 29 November tahun lalu.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu adalah berstatus dokumen berperingkat dan bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei tahun lalu, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd. Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd. Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI