JAKARTA – Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Pramono Ubaid Tanthowi menganggap cadangan penangguhan Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 hanyalah cakap-cakap politik, lapor akhbar Kompas semalam.
Menurut Pramono, Pemilu akan diteruskan kerana ia merujuk kepada keputusan bersama antara KPU, kerajaan dan Dewan Parlimen (DPR) yang menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum 2024.
“KPU berpegang pada keputusan politik bersama yang telah diambil antara KPU-Pemerintah-DPR, bahwa hari pemilihan akan jatuh pada 14 Februari 2024,” kata Pramono.
“Jadi kalau ada suara lain di luar konteks ini, kami anggap ia hanya sebagai wacana politik. Ia tidak akan memberi kesan kepada jadual pilihan raya yang telah diputuskan,” katanya.
Pramono menjelaskan, usul itu akan memberi kesan kepada jadual pilihan raya sekiranya disusuli dengan cadangan susulan dari anggota DPR untuk mengubah keputusan bersama yang telah diambil.
Justeru, selagi tiada cadangan baharu, keputusan bersama berhubung Pilihan Raya Umum 2024 akan terus terpakai.
Pramono turut menegaskan KPU masih tertakluk kepada perlembagaan dan undang-undang Indonesia. – Agensi