fbpx

Polis serbu bangsal proses air ketum dalam hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rajab Ahad menunjukkan sebahagian air ketum yang dirampas di Kampung Padang Balang, Setapak malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sekumpulan lelaki mendirikan bangsal haram dalam hutan bagi memproses air ketum berjaya dibongkarkan polis dalam satu serbuan di Kampung Padang Balang, Setapak di sini malam tadi.

Serbuan Ops Rintis berakhir pukul 1 pagi itu turut membawa kepada penangkapan sembilan lelaki berusia 35 hingga 56 tahun yang sedang leka menghisap dadah selain memproses air ketum tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak Mac lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, sebotol air ketum itu dijual dengan harga RM20 di sekitar kawasan Padang Balang dan Gombak.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 704 botol air ketum yang disimpan dalam bekas sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM14,080.

“Selain itu, daun ketum seberat 30 kilogram serta peralatan yang digunakan untuk memprosesnya turut dirampas,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Turut ditemui dadah jenis ganja seberat 5.7 gram yang dipercayai untuk kegunaan suspek di bangsal tersebut.

Menurutnya lagi, kejayaan itu merupakan serbuan dan rampasan terbesar membabitkan kegiatan pengedaran air ketum bagi daerah Wangsa Maju.

“Kita dapati air ketum kini menjadi alternatif kepada penagih dan kita akan memastikan kegiatan sebegini dibanteras,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI