BALING – Seorang ibu tunggal cekal menguruskan lima anak termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU) secara bersendirian setelah suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.
Noraini Mohd. Akhir, 46, berkata, selepas hilang tempat bergantung, dia kini mengharapkan bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selain sumbangan daripada saudara-mara.
Menurut Noraini, dia tidak dapat keluar mencari rezeki kerana perlu menguruskan Nur Qaisarah Aqilah Shahabudin, 10, yang menghidap cerebral palsy dan memerlukan perhatian penuh.
“Kembar Nur Qaisarah Aqilah, Nur Qaisarah Atikah dan dua lagi anak saya masih bersekolah di sekolah kebangsaan dan menengah.
“Anak kedua saya pula masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, manakalaanak sulung baru bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Bakung, Kampung Dalam Wang di sini baru-baru ini.
Noraini memberitahu, selain dibantu saudara-mara, dia menerima bantuan daripada JKM sebanyak RM500 dan zakat sebanyak RM300 sebulan.
“Wang bantuan tersebut digunakan dengan sebaiknya untuk membeli susu khas Nur Qaisarah Aqilah yang berharga hampir RM200 setin dan hanya bertahan selama lima hari,” ujarnya.
Noraini juga terpaksa menyediakan keperluan lain untuk Nur Qaisarah Aqilah seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan serta perbelanjaan membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan.
Selain itu, Noraini perlu menyediakan perbelanjaan persekolahan serta pengajian anak-anaknya yang lain, sedangkan dia tidak mempunyai pendapatan.
“Saya bersyukur kerana arwah suami sempat menyiapkan bilik khas untuk keselesaan Nur Qaisarah Aqilah hasil sumbangan orang ramai,” ujarnya.
Tambahnya, Nur Qaisarah Aqilah sangat rapat dengan arwah bapanya yang selalu memandikannya serta menyediakan segala keperluannya.
“Sejak arwah suami meninggal dunia, Nur Qaisarah Aqilah sering merengek dan menangis mungkin kerana terlalu rindukan bapanya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 152040528956 atas nama Noraini. -KOSMO! ONLINE